Tulisan yang berada pada tangan saudara ini ialah hasil dari ceramah beliau yang disampaikan di Makkah pada musim Haji tahun 1381H (Mei 1962) yang kemudiannya dibukukan dalam bahasa Arab dengan tajuknya “ واجب الشباب المسلم اليوم ” - Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini.
REBUTLAH PELUANG DENGAN MENYEBARKAN ISLAM !
Saudara-saudara yang mulia!!! Di saat yang bertuah ini, sukacita saya membayangkan kesyukuran dan perasaan puashati saya dengan peluang ini, di mana diberi kesempatan untuk saya menyampaikan ucapan yang serba kekurangan di hadapan kumpulan yang baik yang terdiri dari pemuda-pemuda yang beriman serta ikhlas yang datang dari pelusuk alam untuk mengunjungi negara yang aman makmur ini. Mereka datang kerana menyebutkan Nama Allah di hari-hari yang tertentu (musim haji) dan kerana menyampaikan perkara yang memberi manfaat pada mereka. Atau dengan kata lain kerana menghadiri perhimpunan agong sebagai persidangan tahunan Islam. Tujuan ucapan saya ini ialah untuk memperkatakan kepada pemuda mukmin secara menyeluruh tentang perjalanan dakwah Islamiah sebagaimana yang di kehendaki oleh keadaan dunia Islam sekarang. Saya akan mengambil kesempatan yang berharga ini untuk menyatakan sesuatu yang tersembunyi di lubuk saya dan terpendam di sanubari saya. Agar saudara-saudara semua dapat mengetahui dengan nyata dan terang satu persatu tentang perkara-perkara yang memberi manfaat kepada Islam dan umatnya. Mereka yang hadir ini hendaklah memberitahu kepada yang tidak hadir, kerana kemungkinan di masa akan datang sukar bagi saya untuk mendapat peluang yang baik seperti pada hari ini dan ditempat yang mulia ini. Saya berdoa agar Allah berikan taufik kepada saya dan kepada saudara-saudara untuk mendapat keredhaanNya dan ia menjadikan segala amalan kita ikhlas kepadaNya.
KEADAAN DUNIA ISLAM DAN KEPENTINGANNYA
Saudara-saudara yang mulia !! Perkara yang pertama yang harus anda semua ketahui ialah Dunia Islam terbahagi kepada dua jenis: Jenis pertama : Negara di mana orang-orang Islam merupakan kumpulan minoriti dan tampuk pemerintahannya berada di tangan orang lain (bukan Islam). Jenis kedua : Negara yang majoriti (sebahagian besar) penduduknya terdiri dari orang-orang Islam dan mereka sendiri menerajui pemerintahan. Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa kelompok yang kedua ini lebih penting dari kelompok yang pertama mengikut ukuran biasa. Kerana nasib umat Islam di dunia ini benar-benar bergantung di atas maju atau mundurnya kelompok kedua ini, berdasarkan sistem yang dipilih untuk diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini bukan bererti saya menafikan kepentingan kelompok yang pertama, malahan saya memberi perhatian khusus untuknya, kerana dengan wujudnya orang-orang yang beriman dengan satu akidah, satu fikrah dan satu sistem hidup yang berada di segenap penjuru alam ini, yang bilangan mereka ratusan ribu, malah lebih banyak, itulah sebenarnya sebesar-besar wasilah dan sekuat-kuat pendorong untuk membakar semangat orang-orang yang beriman dengan akidah, fikrah dan sistem tadi supaya hidup secara praktikal dan meninggikan panjinya. Tetapi apabila akidah, pemikiran dan dakwah tadi telah kalah dalam kandang sendiri atau kedudukan terhina maka sudah terang orang-orang mukmin yang bertaburan disana sini di segenap pelusuk alam tidak akan di tanggung oleh bumi dan diteduhi oleh langit hingga sesuatu masa yang tidak dapat ditentukan, dan ianya bukan pendek pula.
MASA DEPAN NEGARA ISLAM IALAH MASA DEPAN UMATNYA
Oleh kerana itu tidaklah salah kalau saya katakan: Bahawa masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak di atas bahu negara-negara Islam itu sendiri. Kawasan negerinya luas, dari Indonesia dan Malaysia di sebelah timur hinggalah ke Morokko dan Nigeria di sebelah barat. Ini adalah berdasarkan fikiran yang logik dan sebab-sebab yang boleh dilihat. Ada pun jika di sana jika berlaku perkara yang menyalahi adat, yang luar dari batasan kekuasaan kita maka itu bukanlah perkara yang mustahil, kerana Allah berkuasa memancarkan air dari batu yang keras, berkuasa menukar padang pasir yang kering tandus menjadi kebun-kebun yang indah, segar bugar, suka mata memandang. Maha Suci Allah Tuhan memiliki segala sesuatu dan Dia Maha berkuasa atas segalanya2. Mengikut apa yang kita bayangkan tadi bila membicarakan tentang masa depan umat Islam, kita katakan: bahawa masa depan mereka bergantung dengan masa depan negara ummat Islam sendiri, samada baik atau buruknya. Sekarang kita ingin kemukakan: - apakah keadaan yang sedang berlaku di negara-negara ummat Islam hari ini ? - apakah sebab dan faktornya ? - dan apakah cara dan metod yang mesti diikuti oleh orang-orang yang berkerja keras untuk membela nasib umat Islam ?
Bersambung .....
Tidak ada komentar:
Posting Komentar